 |
asal bunga je mesti ada kaitan dengan cinta,kan..?
|
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk
menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir
lama.Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan Harriz kerana aku
menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah bayangkan. Dia mungkin
mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini
aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.
“Selepas kita
bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon di
hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas setahun,
awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam perjanjian kita.”
Aku tidak berani
memandang wajah Harriz ketika kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah
restoran. Aku akui, Harriz memang tampan orangnya malah lebih kacak daripada
Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai cair namun aku pantas
melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Harriz merenung aku tanpa berkelip
mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang aku letak di
hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk
memandang Harriz dan cuba berlagak serius.
“Tuhan kurniakan
mata untuk melihat apa yang ada di hadapan kita. Saya dah letakkan fail
perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak tahu nak menggunakan mata awak
tu untuk melihat apa yang patut?” Aku memerli Harriz. Dia cuma tersenyum. Masih
tidak puas menatap wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku dijajahnya.
“Memang Tuhan
anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya sedang melihat satu lagi
anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan yang tidak pernah saya
bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa sungguh indah alam ini dengan
adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt Hamdi…” Ungkapan pertama keluar dari
mulut Harriz.
Aku tersedak, hampir
tersembur fresh orange yang sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di
dalam beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah padam muka aku menahan malu.
Bijak sungguh Harriz bermain dengan kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan
pujiannya. Ahh…Lelaki, semuanya sama…
“Tapi sayang, awak
tidak menggunakan kecantikan awak itu untuk melambangkan hati awak. Buat
pengetahuan awak, saya ini bukanlah seperti apa yang awak bayangkan. Niat saya
ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain Bt Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan
hidup mewah, awak takut saya akan merampas semuanya itu dari tangan keluarga
awak. Terus terang saya katakan, seandainya awak ini adalah gadis cacat yang
kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan mengahwini awak walau awak
miskin sekalipun.
”Bagi saya, harta
boleh dicari tapi cinta yang tulus suci hanyalah wujud sekali dalam hidup kita
dan awak adalah wanita yang berada di dalam hati saya sekarang sehinggalah saya
tidak bernafas lagi di atas bumi bertuah ini.” Harriz tersenyum lagi.
Aku pula tergamam.
Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh begitu. Kata-katanya kedengaran
seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak kerana inilah kali
pertama aku melihat wajahnya. Sungguh pelik orang ini. Harriz membuka fail biru
itu.Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia mengambil pen dari poket bajunya
lantas ditandatangani MOU tersebut.
“Awak tak berniat
nak baca MOU itu sebelum awak sign?” Aku memberanikan diri untuk bertanya pada
Harriz. Sekali lagi dia memandang aku dengan pandangan yang penuh bermakna
baginya.
“Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk
menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?” Terperangkap lagi aku
dengan kata-katanya.
Entah kenapa di mana
hilangnya marah aku dan semangat aku ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain.
Tidakkk!!…..Aku bukan mudah untuk menerima dia. Cinta aku pada Izham masih kuat.
Harriz bangun. Air minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana
aku.
“Assalamualaikum….”
Itulah kata-kata terakhir yang diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu.
Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini. Sebelum aku berjumpa dengan Harriz,
terlalu banyak kemusykilan tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku.
Kini pada pertemuan pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran aku
memikirkan tentang Harriz. Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu
daripada aku? Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh…. Makin
difikir, makin pening aku dibuatnya. episode 1
Kini, telah hampir
seminggu aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis
perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi aku tidak merasai keseronokan itu.
Mungkin Harriz juga begitu. Perhubungan aku dan Harriz memang terbatas. Itu
adalah syarat aku sendiri sebelum Harriz melafazkan akad nikah.
Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah
tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan tersebut. Harriz benar-benar memberi kerjasama yang baik.
Kadangkala simpati aku menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya melepaskan aku sebelum tamat
kontrak perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu.
“Saya seorang yang
menepati janji. Walau hati ini berat untuk berpisah dengan awak, saya tetap
akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai selepas tamat tempoh kontrak.
Awak sendiri tahu bagaimana perasaan saya pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau boleh,
saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya
cinta saya terhadap awak.”
Tiba-tiba Harriz
memegang tangan kananku ketika aku sedang mengikat rambut lantas diciumnya
perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang berhadapan dengan rakyat biasa.
Berderau darahku ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz semakin
tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud dalam diri ini. Harriz cuba untuk
memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.
“Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini
saya bertahan dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata manis awak tu. Saya tak
akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan
mencintai awak atau belajar untuk menyintai awak!!Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan? Izham
lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya
bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak perlu tahu!!”Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.
Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku
dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat untuk mempertahankan diri wujud
dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada Izham semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga berat.Harriz
hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut wajahnya yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang
tiba-tiba.
“Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat
untuk menyakitkan hati awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan,” ringkas sahaja kata-kata Harriz kali ini.
Aku masih tidak memandang wajah Harriz.
“Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita
berjemaah,” pelawa Harriz lembut. Aku memandang wajahnya.
Dia tersenyum, “saya tunggu di bilik.” Harriz berlalu pergi
meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali kemarahan aku yang
berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka selamba sedangkan sudah
berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di rumahku.Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa
benci dalam diri Harriz supaya dia membenci aku. episod 2
Kini, perkahwinan kami sudah
hampir 3 bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain dan tidak bukan mesti
berkaitan dengan hal anak.
Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa aku ini masih
suci lagi. Harriz tidak pernah menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia
benar-benar mengikut segala kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja hubungan dengan aku. Aku
bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan semuanya tidak menjadi. Harriz
masih lagi menyayangi dan menyintai aku.Aku dah tak tahu nak buat apa.
Aku
rindukan Izham di saat-saat begini. Aku kesunyian. Tanpa Izham aku rasa
kehilangan. Kadangkala aku nampak bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai bila
aku mampu bertahan. Harriz terlalu baik terhadap aku. Hanya perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh cinta padanya setelah
pelbagai cara dia lakukan untuk menambat hati aku. Aku juga manusia biasa.
Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam hidup ini. Apakah perasaan aku
terhadap Harriz sekarang? Aku semakin bingung dengan kehidupan yang aku lalui
kini.
Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di rumah.
Tapi, bukan kerana banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya Harriz menyangka aku perempuan yang
selalu balik lewat malam kerana puas berseronok di luar. Terjengket-jengket
kaki aku melangkah masuk. Suasana gelap menyelubungi rumah banglo dua tingkat
pemberian hadiah ayah sempena perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz
yang tinggal di sini.Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan terbongkar lebih
awal.
Minta-minta Harriz akan memarahi aku kerana pulang lewat. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku
telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan.
Hampir terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada seseorang
yang sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh. Berderau darah dibuatnya.
Lampu ruang tamu dipasang…
Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh Harriz. Mata
bertentang mata. Hampir beberapa saat aku tidak bercakap. Tersedar dari
lamunan, aku pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku
mula berubah. Merah padam jadinya. Marah bercampur malu
benar-benar ada dalam diri aku sekarang.
“Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni tak
ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak tidur?” Aku memarahi Harriz.
“Saya tunggu awak….”
“Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak kecik
lagi. Saya tahu pukul berapa saya nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?”
“Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran awak, masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak makan lagi ni.”
Harriz mempelawa
aku. Masak lemak cili api ikan keli? Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah
lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan apa. Tengah hari tadi tak
keluar pun sebab kerja banyak.Petang pula ada mesyuarat. Bila dah habis kerja,
aku pulak yang sengaja balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati
Harriz. Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir
nak makan pun.
Sekarang, dah lapar. sengal betul aku.
Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia. Habislah rancangan aku nak bagi dia
marah.
“Awak ni pandai
masak ke? Saya ni memilih orangnye. Takpelah saya dah kenyang. Dah makan kat
luar pun. Awak nak makan, awak makanlah sorang.”
Aku pura-pura menguap di hadapannya.“Ahh.. ngantuknya..”
“Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar.” Harriz
terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung saji dan menyendukkan nasi
untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku.
Macamana dia tahu aku tak makan? Aku masih lagi
tercegat di antara ruang tamu dan ruang makan.Sesekali aku menjeling ke arah
Harriz yang sedang leka menyiapkan makan malam yang rasanya dah boleh jadi
makan pagi. Sanggup dia tak makan kerana menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah
siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia. Aku pantas
menaiki tangga meninggalkan Harriz.
“Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti, kalau
awak jatuh sakitkan susah…” Harriz menasihati aku. Langkahku terhenti.
“Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap, saya dah
kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik atas, nak
mandi dan tidur. Awak jangan ganggu saya!!” aku bentak keras.
“Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar,
awak makanlah ye. Pergilah awak berehat,” Harriz mengakhiri perbualan kami. Aku
terus naik ke atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak terbalik dunia
ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah aku boleh
bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak bertempat.
Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku…? episod 3
Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan dengan
sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak tahan dengan keadaan kami apabila
terpaksa berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah
kami.
Dari berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas.
Dari muka yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum meleret. Aku kena
memainkan peranan sebagai isteri dan Harriz sebagai suami sedangkan gelaran itu
memang ada pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi Harriz bijak memainkan
peranannya sebagi suami.
“Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?” Aku
mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami
menjamu selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh
Harriz tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum
menggeleng.
“Ain…Ain… Mak dan ayah belum panas punggung lagi dah ditanya
bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak. Salah ke mak melawat anak mak yang
kini dah jadi isteri orang,” balas ibu. Aku tertunduk malu. Ye tak ye jugak..
“Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik awal.
Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau
ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni..” Harriz
menyampuk. Aku menjeling pada Harriz. Nampaknya, dia ni nak
mengambil kesempatan. Ketika itu tangan kirinya sengaja memeluk pinggangku.
Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak tolak.
“Yelahh, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun tentu
bosan duduk kat rumah, lagipun ayah kerja.” Aku terpaksa menipu. Kalau boleh
nak saja aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak
sukakan mereka tapi aku tak mahu berlakon lagi.
“Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga. Mak dan ayah
tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak melepas
rindu. Dua hari lagi kami baliklah.”
Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak menunggu
mereka balik.
Aku lihat Harriz tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk
pinggangku. Suhu di kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku cekik-cekik Harriz sekarang. Betul-betul
mengambil
kesempatan. Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke arah
aku.
“Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2
petang Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan
ayah tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain balik.”
“Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian kat
Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga makan pakai si Harriz
ni. Kesian Harriz.” Berbakul-bakul ibu membela Harriz. Eeeee….Bertambah-tambah
geram aku. Ayah hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak masuk campurlah
tu. Pendek kata, apa saja yang ibu cakap ayah akan setuju. Betullah mereka ni
satu kepala.
Berbeza aku dan Harriz, ibarat panggang jauh dari api.
“Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak tolak.
Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama kat sini.” Aku membalas kata-kata ibu dengan harapan Harriz akan membantu
aku.
“Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni tak pernah
kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia
kawan lama saya masa kursus kat Tokyo dulu.” Harriz
menyokong aku.
Lega rasanya di hati. Aku memandang Harriz. Dia hanya
tersenyum. Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium tangannya.
Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan mencium tangan Harriz.
“Saya pergi dulu, bang..” Lembut aku bersuara meminta izin.
Mak dan ayah tersenyum-senyum memandang gelagat kami berdua. Rasa senang di
hati mereka melihatkan kemesraan aku dan Harriz yang sebenarnya dibuat-buat. Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa
Izham
tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia tak
menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar suaranya. Izham masih lagi di
London. Dahulu, di awal usia perkahwinan kami
Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku
semangat. Izham tahu mengenai masalah aku dan Harriz.
Dia juga tahu rancangan aku mengenai ‘perkahwinan kontrak’
ini. Izham langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Harriz
bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah yang
menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja
setahun malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti aku.
Aku dapat
rasakan ketika itu akulah wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki
cinta Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi aku.Namun suara Izham hanya
dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Izham sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus
menunggu kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah
pasti perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang
singkat. Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap
satu angan-angan yang tak pasti.
Ini semuanya berpunca daripada Harriz. Kadangkala aku
terlalu bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit sebanyak telah
mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang baik,
dan benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah
menghargai kehadirannya
dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz yang tulus
ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku. Bila difikir-fikirkan, aku
rasa bertuah kerana punya seorang suami yang
terlalu memahami aku.Memanjakan aku seolah-olah aku ini
budak
kecil yang perlu didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku,
aku lapar dia menjadi tukang masakku malah bila aku terlambat
ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu dia
punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan
Izham?
Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang
bersama Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Hariz sehingga aku mati.
Di mana Izham sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi
cintakah di dalam
hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan sesuatu
yang bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku
abaikan begitu saja. Antara Harriz dan Izham?? Siapa yang
harus aku pilih? Ooohhh…Terlalu sukar hidup ini.
“Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke
klinik..” Aku ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku
pada Harriz dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada
Harriz. Ketika itu aku demam panas. Memang aku tak mampu nak
berbuat apa-apa kerja ketika itu.
Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku
terlalu rindukan Izham dan dalam masa yang sama aku juga
sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat.
“Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol,
sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak
buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?” Aku meninggikan suara.
Tapi bukannya aku marahkan Harriz, cuma aku tak tahan dengan
kesakitan di kepala yang aku alami. Harriz masih tak
berganjak. Dia meletakkan tangannya di dahiku. Aku menepis
dengan kuat tangan Harriz. Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun
tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan kemarahanku, Harriz terus mendukungku
keluar dari bilik. Aku benar-benar
terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Harriz menjadi
sasaran aku untuk memukul.
“Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan saya!!” Aku cuba
menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan
suara.
“Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi orang
***** untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam
ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting sekarang.”
Harriz….Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih
sayangmu yang mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus *****
menanti pada orang yang tak pasti.
Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku
terlantar sakit Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia
sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani aku.
Segala makan dan pakai semuanya Harriz yang lakukan untuk aku, biarpun pada
mulanya aku malu dengan tindakan Harriz.
Entah mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada
Harriz berubah menjadi kasih dan sayang pada Harriz. Aku benar-benar terharu
dengan keikhlasannya selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Harriz
yang sanggup hidup bersama aku susah dan
senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan
kutukan aku pada dirinya selama ini.
Kesabarannya terhadap kedegilan aku membuatkan aku mula
jatuh cinta pada Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya. Aku malu untuk
meminta maaf pada Harriz walaupun selama ini aku yang
banyak melakukan kesilapan. Aku tahu, aku seorang isteri
tapi aku
tak pernah menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri
yang sempurna pada Harriz.
episode 4
Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan
kami. Sepatutnya aku boleh gembira sekarang kerana tidak lama lagi Harriz akan
melafazkan kata-kata keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak
dapat aku rasakan sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat
melupakan ingatan aku pada Izham. Kerinduan pada Izham sudah tiada lagi.
Yang terbayang di dalam fikiran aku sekarang hanyalah Harriz
Bin Hisham, seorang suami yang terlalu agung darjatnya dalam hati aku. Aku
benar-benar takut untuk berpisah dengan Harriz. Selepas ini Harriz bukanlah
lagi peneman setia aku. Aku dapat rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman
Harriz dan gurauan Harriz. Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah aku lakukan sekarang?
“Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup bersama
saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun
dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang suami supaya menjaga isterinya samada
dalam keadaan susah mahupun senang. 2 minggu lagi, hubungan kita akan tamat.
Tapi, percayalah biarpun sehari malah sesaat pun, awak tetap di hati saya.
Saya
tahu kebencian awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya tidak akan
pernah pudar. Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu teruskan hidup ini
bersama awak Nurul Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya.”
Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu
memandikan aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku.
Terasa ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan.
episode 5
Mataku ketika itu masih tertutup. Mungkin Harriz
menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak sebenarnya. Segala kata-kata luahan
hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak
berani untuk menatap wajah Harriz ketika itu.
Harriz, kenapa kau terlalu baik pada diri ini yang
seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku tidak mampu
untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau dapat mendengar
luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi untuk meluahkannya
hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Hariz. Terasa kecil diri ini di
hadapan matamu Harriz.
“Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak
sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi awak sanggup berkahwin dengan saya.
Bukankah itu satu tindakan yang bodoh namanya?” Aku memberanikan diri untuk
bertanya pada Harriz sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan
ayah. Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget.
“Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi
suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya.
Hampir dua tahun saya mengenali awak sebelum saya
berjumpa dengan awak.” Harriz sengaja menoktahkan ayatnya di
situ supaya aku semakin keliru. Kali ini aku yang memandang wajahnya dengan
seribu pertanyaan di kepala.
“Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup
saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah
belajar di luar negara dan sama universiti dengan awak.” Aku ternganga.
Ligat otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia
yang pernah aku jumpa di London. Rasanya tiada langsung wajah Harriz yang
pernah aku jumpa. Betul ke dia ni atau sengaja nak memainkan aku?
“Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana pun, tapi
kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak bergurau dengan
saya.” Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz cakapkan sebentar
tadi?
“Saya belajar part time. Awak memang tidak akan perasan
saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Izham selalu datang makan di
restoran tempat saya bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya
jadi pelayan bar di situ. Maklumlah, saya ni orang miskin,
tak mampu nak belajar sepenuh masa.
Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya
sempat mengenali awak.” Harriz menamatkan ayatnya di situ. Dia menghabiskan
minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil. Tuhan
menemukan aku dan Harriz tanpa aku
mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu pandai menyimpan
rahsia.
“Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang sah
seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah saya tandatangani. Biarpun hati
ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak
pernah lupa dengan janji saya.”Melukakan hati dan perasaan
awak adalah satu dosa paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya
sendiri. Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak
pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali melukakan
hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak dapat ampunkan dosa-dosa saya.” Harriz tertunduk menahan
sebak di dada.
“Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling
saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir
hidup saya yang selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu
kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam
diri saya. Awak adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian
singkat….”
episod 6
Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz. Apa yang
dia cuba maksudkan? Hariz yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Harriz
yang selama ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar
seakan menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air
mata lelakinya hampir mengalir tapi mampu ditahan.
“Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang sepatutnya
memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah terlalu
besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan keputusan saya selama
ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di
hati awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang wanita lain yang akan
muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak
lebih dari segala-galanya di dunia ini.”
Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini mengalir di
hadapannya.Percayalah Harriz, sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki
tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa
lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang
tulus ikhlas mencintai aku. Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak
sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku. Harriz hanya mampu
tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat
rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
“Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan ingatan
awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata
hati awak, namun awak jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan
sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang singkat untuk saya
lebih mengenali awak."
”Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya
sekali lagi saya harungi hidup ini bersama awak di dalam satu keadaan yang
berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh
jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia
yang paling bertuah dapat memiliki awak.” Kami bertentangan mata buat kali
terakhir. Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah
esok. Mungkinkah ianya terjadi….
Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti
akan terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub.
Ahhh..undang-undang yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan.
Takdir hidup aku esok akan ditentukan. Aku tahu bukan sahaja
aku, malah Harriz lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu mencintai aku. Malah
kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia menghormati segala
keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Harriz pada diri ini.
Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku
keluar dari bilik. Aku dapat rasakan sesuatu…Harriz tiada di dalam biliknya.
Begitu juga dengan kereta Harriz, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu.
Terlalu cepat Harriz meninggalkan cintanya. Tidak sempat
untuk dia berkata sesuatu pada aku buat kali yang terakhir. Mungkin Harriz
tidak mampu untuk berhadapan dengan aku.
Kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat
lihat sepucuk sampul surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati aku
berdebar-debar. Semakin lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi
sejuk. Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku perhatikan surat
Harriz. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan semuanya
berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut, namun, aku pasrah.
Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala keputusan
dengan tenang.
Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Harriz biarpun
Harriz berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran
surat tersebut dan akhirnya….
“Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan ini menceraikan
NURUL AIN BT HAMDI dengan talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak
perkahwinan yang telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER 2002”
-HARRIZ BIN HASHIM-
Dia benar-benar melakukannya…Pertama kali air mataku
mengalir. Aku kini bukan milik Harriz lagi. Tahniah untuk diriku sendiri kerana
permainkan undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang.
Ooohh..Harriz. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan selamat tinggal yang
keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk aku
supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku sudah pasti aku tak mahu engkau meninggalkan aku. Aku mula
menyayangi dirimu Harriz.. Benih-benih cinta dan kasih dalam diri ini pada
Harriz sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk tunaskannya…
episod 7
Hampir 2 bulan selepas penceraian kami aku tidak pernah
bertemu dengan Harriz. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke
mana Harriz membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga aku
temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan kami yang
terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain selain Harriz yang boleh
menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku
runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku.
Tapi, di mana aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat
aku pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz
tidak mahu berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah dosa aku padanya?
Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah
marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka
tidak lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Harriz tidak boleh kekal bersama cuma mereka
kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah berubah. Aku terlalu
degil dan sukar untuk dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Harriz telah mengubah pendirian aku. Dialah punca
segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal
apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu.
Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz disisi. Cinta, kasih
dan sayang pada Harriz semakin hari semakin bertambah. Nama Izham terus hilang
dari ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh
dipercayai. Segala kegiatan jahatnya terbongkar apabila satu
hari aku terbaca diari Harriz yang tertinggal di rumahku selepas Harriz
menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu.
Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Izham di
London tertulis di dalam diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah
seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan wanita seperti aku.
Sampai sekarang Harriz tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi
hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz
lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di
hati aku kini. Harriz, di mana kau sekarang..?
episod 8
Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh meluruhkan
jantung aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang sangat-sangat aku ingin
jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang Harriz tetapi malang
kerana ketika itu aku berada di luar negara menguruskan perniagaan ayah yang
ada masalah.
Aku menggantikan kerja-kerja Harriz kerana Harriz bukan
sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di syarikat ayah juga
turut dilepaskan. Ibu yang menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak
baik tentang Harriz. Harriz kini berada di wad jagaan rapi (ICU). Harriz sakit
kuat sekarang.
Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu
kerana perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang
ketika itu mengalami musim sejuk.
Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita
selanjutnya tentang Harriz. Aku menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tapi semua penerbangan dibatalkan untuk
beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan kehilangan Harriz
dan aku tak sanggup untuk mendengar berita kehilangan Harriz sekali lagi.
Harriz…Ya Tuhan, selamatkan Harriz.
Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah kami di
bawah limpahan rahmat kurniamu… Aku tidak dapat tidur lena selepas mendengar
berita Harriz. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Harriz. Bagaimana
keadaan Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor telefon
ibu, namun tidak berjaya. Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan
semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan Harriz. Mungkin sekarang
Harriz amat memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Harriz. Kita
terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini terlalu dekat
padamu. Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa di
saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala
kesulitan hidup.
Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku
sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan
berita yang paling takut
untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas
keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Tuhan selama ini.
Harriz…Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia
benar-benar telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Harriz tidak lagi akan
aku temui sampai bila-bila…
“Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari yang
lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat
selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah
semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu
untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain…..”
Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku
terasa berada di awangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku
terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa
henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa
aku terlalu banyak pada Harriz.
“Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain tidak
sempat untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan Ain…” Aku menjerit
sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan
aku di saat itu. Aku keseorangan. Ibu dan ayah tiada di
sisi. Hanya semangat Harriz yang wujud dalam diri ini tapi kini Harriz
meninggalkan aku secara tiba-tiba.
Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz
tidak pernah menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata
Harriz malam itu aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku
tahu begini jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang
yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz
kematian di hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat
untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Hariz meninggalkan
aku di saat-saat cinta ini telah berputik.
Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna
pada aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya
pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi
setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di
pusara Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan berada di sebelah aku melihat
aku mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya.
Harriz, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali
aku bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir
ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang
mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan
diri aku sendiri.
Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini
dapatku baca. Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau
karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!..
Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di
dalam hati ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat
bersama. Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon
padamu Harriz…
Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku
membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang
tidak dirancang tapi telah ditentukan Tuhan.
Sesungguhnya… Syurga seorang suami adalah ketika bersama
isterinya dalam susah dan senang…
Permata hati buat isteri yang disayangi
Nurul Ain Bt Hamdi…
Dunia saya sewaktu bersama awak
dirasakan amat luas….
Awak adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat
saya…
Biarpun cinta ini tidak pernah
wujud dalam diri awak…
Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya Saya sayang awak lebih dari segalanya
Saya mencintai awak dengan setulus hati
Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini
Memiliki awak adalah amanat yang harus
saya jaga
Sebagaimana Tuhan menciptakan
Adam untuk Hawa…
Namun, pemergian saya tak dirancang…
Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan nafasnya.
Biarpun saya tiada di sisi awak lagi
Saya harap awak tidak pernah lupa akan
diri ini yang sentiasa mencintai awak…