Thursday, 26 November 2020

Sarapan Pagi Fried Noodles

Aku sarapan pagi kat restoran Inshaf dekat pejabat aku hari ni. Meratah mee goreng + telur goyang yang memang menjadi faveret sejak dari dulu lagi. Bila makan mee ni fikiran aku melayang teringatkan seorang teman yang suka sangat makan noodles di kejauhan sana. Apa khabar dia hari ni? Moga sihat-sihat sentiasa.  Sambil meratah mee goreng, mata aku melilau 'meratah' wajah-wajah manusia yang berlainan jantina dengan aku yang khusyuk mengunyah roti canai sambil cover cun. 

Tiba-tiba aku rasa lain kunyahan aku, tak seperti mula-mula tadi. Aku meraba mulut dan merasa sehelai 'mee' yang sangat halus melingkari bibir. Aku tarik keluar dari mulut.. Aisey! Rambut! Huh! Aku panggil salah seorang pekerja kat situ dan beritahu apa yang berlaku. Kononnya, nanti bolehlah dapat mee goreng percuma. Heh!

Pekerja tu pergi mengadu kepada boss dia yang duduk kat kaunter. Sambil tu, aku tarik rambut tadi perlahan-lahan untuk cari hujungnya. Dan aku rasa ada orang cuba tarik janggut aku dari bawah dagu lalu terputus. Uihhh! Janggut aku sendiri rupanya. 

Aduhai, ini la akibatnya bila membuat rawatan minyak panas kat janggut yang panjang. Meliuk lentuk janggut ni ditiup angin sampai tak sedar dah melingkari ke bibir. Janggut dah panjang berupa ikal mayang. Aduhai, macam mana la boleh tak perasan pulak janggut sendiri yang melingkari bibir tadi ni. Agaknya dah sampai masa janggut ni kena potong... Huh!

Puisi : Senja

Senja
Melabuhkan biasan cahaya indah
Terpancar dari sinar kekalutan 
Bercanda warna pada ihsan gerimis 
Berubah sukma dari nyata
Kepada aluan prejudis

Senja
Unggas pulang riang
Bersama kenangan dengan pasangan
Sedangkan aku
Masih terus mengulit ihsan perasaan
Bersama impian dan kenangan

Senja
Kian menghilang
Dibalik tabir kegelapan malam
Membawa bersama harapan 
Dalam neon indah bintang 
Yang gemerlap menggantikan 
Cahaya indah senja
Yang terus malap.

Tuesday, 24 November 2020

Cerita Tengah Malam Waktu Dulu-Dulu

Mata ni dari tadi berkelip-kelip. Terjaga di sepertiga malam. Selesai menunaikan yang fardhu dan yang sunnah. Tapi, mata masih lagi tak mampu untuk lelap. Hujan diluar masih lebat, selebat rindu pada yang dirindui. 

Kala malam begini, teringat semasa kerja pertama selepas exam SPM suatu masa dulu. Masa tu kecoh, orang kata dah habis belajar time tu cari kerja sementara tunggu tawaran sambung study. Dan aku antara manusia yang terpengaruh dengan frasa mencari kerja tersebut. 

Cari kerja. Mula-mula kerja kat Mc'Donalds tapi cuma bertahan dua minggu sebab penat berdiri lama lagipun godaan awek-awek yang kerja part time kat situ yang sebaya dengan aku jugak agak boleh tahan. Aku resign selepas cukup dua minggu. Apply pulak kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan dekat Jalan Tun Razak.

Kerja sebagai pengawal keselamatan ni rileks. Syaratnya, cuma buat cloaking mengikut waktu sahaja. Masa lain selain dari cloaking, nak tidur ke nak tengok wayang ke ikut suka hati kata penyelia pada masa tu. Bangunan tu takde penghuni. Syif siang memang happy la kerja setakat cloaking je. Selepas empat hari, aku kena tukar masuk syif malam bersama lagi dengan seorang lagi rakan yang agak senior. Dan, cabaran cloaking pada waktu malam pun bermula...

"Noy, sampai masa buat cloaking." Rakan senior mengejutkan aku dari lelap. Dia baru lepas selesai solat isyak.

"Haaa, okay.." Jawapan pendek yang menyakinkan dari junior yang baru nak buat cloaking waktu malam.

Cloaking bermula dari tingkat 2. Cloaking dilakukan pada selang tingkat bernombor genap hingga ke tingkat terakhir iaitu tingkat 14. Aku buat kerja dengan penuh sifat amanah. Semasa di tingkat 14, selepas selesai cloaking. Aku masuk semula dalam lif. Semasa pintu lif hampir ditutup rapat tiba-tiba pintu lif bagai ditahan seperti ada orang mahu masuk. Pintu itu terbuka. Tapi, tiada sesiapa yang masuk. Aku undur dua langkah ke belakang rapat ke dinding. Pintu tertutup kembali secara automatik. Kemudian, terbuka semula. Kali ini pintu lif itu tutup dan buka berkali-kali. Aku mula rasa tak sedap hati..

"Noy, masuk-masuk..." Walkie talkie berbunyi. Suara rakan senior memanggil. 

"Ye, masuk-masuk..." Aku jawab pendek.

"Kau baca ayat kursi 7 kali kemudian selawat ke atas nabi lepas tu kau hembus kat pintu lif tu.." Kata dia lagi. Aku ikut saranannya.

Selepas hembus dan berdoa memohon perlindungan dari Allah, pintu tu elok tertutup sendiri dan aku selamat turun ke lobi. Masa kat dalam bilik pengawal, aku tanya rakan senior tu macam mana dia tahu lif yang aku naik tu pintu terbuka tutup sendiri. Dia kata, 

"Kau lama sangat tadi. Aku memang dah syak. Aku pun tengok dalam CCTV nampak kau dalam lif dengan pintu tutup buka sendiri. Tu yang aku walkie kau tu.. Lagipun, bangunan ni memang 'keras'. Sebelum kau masuk, ada brader tu cuma 1 malam je kerja sini. Lepas tu berenti sebab tak tahan kena kacau macam ni. Dia lagi la, benda tu tunjuk muka terus!"

Gulp! Aku menelan air liur.

Pengalaman lain nampak budak bermain kat tingkat 10, nampak perempuan pakai gaun putih melayang dari tempat cloaking. Macam-macam lagi kalau cerita memang banyak.

Selepas dapat tawaran belajar, aku resign jadi pengawal keselamatan. Bila tengok brader-brader yang kerja sebagai pengawal keselamatan ni memang aku tabik la dengan experience diorang yang kerja cloaking waktu tengah malam. 


Monday, 23 November 2020

Noodles Vs Nasi Lemak Sambal Sotong

Pagi tadi. Pagi yang gelap kini sudah terang. Aku makan breakfast kat sebuah kedai yang sememangnya menjadi faveret sejak dari zaman bergelar anak teruna lagi. 

Aku ambil spot tempat yang dihujung corner. Berdekatan dengan sumber pohon yang menghijau. Makanan faveret ditempah melalui adik waiter yang comel. Nasi lemak sambal sotong, sambal lebih! Kalau Maya ni pagi-pagi dia suka makan noodles. Faveret dia memang noodles. Takde rezeki nak rasa noodles yang Maya masak sendiri. Perasaan teringatkan Maya makin hebat. Apa khabar Maya agaknya. Ingat lagi ke dia dengan aku? Aiseymen, terlayan blues pulak...

Nasi lemak sambal sotong sampai dengan asap nasi yang menjulang. Bismillah, jemput makan...

Sedang leka meraup dan mengunyĆ h sambal sotong tiba-tiba meja sebelah didatangi oleh seorang lelaki tua yang mendukung seorang kanak-kanak yang sedang menangis kuat. Lelaki tua itu duduk di meja sebelah, dia senyum. 

"Cucu dia agaknya." Kata aku kat dalam hati.

Sedang aku leka makan. Sekali lagi perhatian aku ditarik oleh lelaki tua ini. Kata lelaki tua itu kepada cucunya,

"Min, tengok tu kerbau duduk kat atas pokok!"

Aku yang tengok kat pokok, cucu dia buat dek je..

Huh! 

Sunday, 22 November 2020

Terima Kasih dan Sama-Sama

Tadi baru je lepas sound orang sebab tak cakap "sama-sama" lepas aku cakap terima kasih. Kenapa tak nak cakap terima kasih? Teruk sangat ka kasih aku ni sampai hang tak mau terima?! Aku cakap terima kasih, jawablah sama-sama..!!! 

Huh!! Aku pandang budak cashier tu kecik besar kecik besar je.. Dah la senyum pun tak mahu, dia ingat aku nak sangat ke datang kedai dia tu? Mujur kedai tomyam lain tutup je, kalau tak memang aku tak lalu langsung jalan besar depan kedai dia ni. Eeeeeiii, hangin betul!

Dulu, kalau aku stress aku akan hisap rokok dunhill merah 20 batang tu habis dalam masa 2 jam je. Kemudian beli lain, hisap lagi. Dalam masa 2 jam, habis lagi then beli lagi sehinggalah perasaan stress tu reda.

Masa kat arab dulu, kerja memang stress gila-gila. Boss semuanya dari Germany, France.. Semua boss pun kaki hentam bila kerja lambat capai dateline. Perkataan 'Fuck You!', 'Motherfucker!', 'asshole', 'monkey business', semuanya adalah asam garam kata-kata carutan berbaur racist dikalangan mereka. Adat la kerja dengan mat saleh. Stress kerja. Berkotak-kotak dunhill dalam sehari! Start dari pagi dah melekat kat bibir rokok dunhill sampai la pukul 11 malam waktu tempatan di Arab Saudi. Rokok pulak murah kat sana. Orang tempatan sana kata, rokok murah sebab saja nak bagi rakyat mati cepat... Diorang cakap laaaa... Tapi, rokok oversea tak sama sedapnya dengan dunhill merah kat Malaysia. Sekali tarik terasa penuh asap dalam paru-paru.

Sekarang, aku dah quit smoking. Kalau cium mulut pun dah takde bau rokok le.. Haha! Cuma, kadang-kadang terasa rindu dengan dunhill merah bila tengok kawan-kawan hembus asap sambil kat jari diorang terkepit sebatang dunhill merah berbara....




Friday, 20 November 2020

Kaunter

Disebabkan masjid berada dalam kapasiti penuh paksi S.O.P PKPB, saya meneruskan perjalanan ke sebuah mall yang gah di sebelah bangunan PWTC. Mencari apa pun saya tak tahu. Perut tengah sakit ni. Takpe, saya boleh tahan. Singgah sekejap ke kedai buku, beli buku apa yang patut. Bercadang terus nak balik ke pejabat dan menyiapkan baki kerja yang tertangguh. 

Buka dompet cari kad touch N go. Aiseymen, kad dah tercicir. Hilang. Aiyoyoyoooo.. Terpaksalah menggunakan wang tunai untuk membeli token LRT. Belek-belek wang dalam dompet semuanya not besar. Takde pulak duit kertas lima ringgit. Macam mana ni? Mesin token ni mana nak duit not lima puluh. Aduhaiii...

Saya pun ternampak seorang lelaki yang sedang duduk bersimpuh berhampiran pintu masuk stesen LRT. Tapi, berpakaian kusut-masai. Saya terus pergi kepadanya. Lalu bertanyalah saya kepada orang itu,

"Bang, mintak tolong boleh?"

Orang tu terus menjerit-jerit meminta tolong tanpa henti,

"Tolong! Tolong! Tolong!"

Cuak. Saya terus lari meninggalkan orang itu dengan jeritannya. Semasa berlari, bahu saya dipegang oleh seseorang. Orang itu berkata,

"Bang, kalau nak tukar duit kecik pergi le kat kaunter. Jangan kacau orang-orang yang minta sedekah kat stesen ni. Kan dah kena 'bahan' dengan diorang.." Saya memandang ke arah orang yang minta tolong tadi, dia tengah tersengih. 

Huh!

Thursday, 19 November 2020

Injection kat Bontot..

Pergerakan terbatas. Tak lalu makan. Doctor bagi injection tadi. Untuk redakan demam, gastrik dan tahan sakit. Segalanya macam blur. Saya kalau sekali datang sakit memang teruk jadinya.

Tengah hari tadi dapat berita tentang seorang lagi kawan yang jug menghidap kanser meninggal dunia. Terasa malap sekejap pandangan mata. Dok fikir masa saya bila pulak 'dijemput pergi'..?

Usaha dah usaha banyak dah.. Merata dah pergi cari penawar.. Usaha lagi usaha lagi.. Itu la orang selalu cakap. Jangan putus harapan, jangan patah semangat. Awak semua yang bercakap memang mudah, tubuh yang menanggung ni awak semua ingat dia kuat sangat ke?

Sakit macam ni pun tubuh saya tak susut teruk sangat macam orang lain. Apakah ia petanda saya semakin sihat? Apakah sel itu sudah mati dengan rawatan yang berkoyan yang saya buat? Soal hidup dan mati bukan ketentuan kita nak beri justifikasi bila berakhirnya nafas. Bukan kita yang memberi kata putus bila nyawa kita akan diambil. Bukan bidang kuasa kita... 

Teringat pesanan allahyarham sahabat saya yang menghidap kaser hidung dulu. Katanya,

"Sementara hidup ni, buat amalan banyak-banyak boh..."

Pesanan whatsapp yang dia hantar tu masih ada lagi saya simpan dalam telefon ni. Terasa sangat bila dia 'pergi'. Kenangan semasa zaman bujang. Kerja kuat demi kepentingan negara. Kalau bukan kami sebagai tester, tak mungkin anda semua menikmati bekalan elektrik seperti hari ini. Keseluruh negara kami buat ujian sebelum bekalan penuh tenaga elektrik dibekalkan ke setiap rumah, pejabat, masjid, kilang, hotel walhal rumah Perdana Menteri sekalipun. 

Alor Setar, Butterworth, Bukit Mertajam, kuantan, Gebeng, Kg Awah, Lenggeng, Permas Jaya, Bukit Batu, VisionCity(Kg Baru) antara nama-nama tempat yang pernah saya buat ujian ke atas perkakas elektrik dekat pencawang masuk utama TNB. 

Semoga ada pahala untuk saya dan kawan-kawan atas kerja yang kami buat...   Al Fatihah buat arwah Pokshe..

Monday, 16 November 2020

Hujan, Kapcai dan Seksi

Kuala Lumpur basah hari ni. Hujan lebat mencurah. Hari jugak saya pergi kerja naik kapcai. Dah lama sangat kapcai tu tak pergi office, nanti takut kapcai tu lupa jalan nak ke opis pulak. Heh!

Disebabkan hari ni naik kapcai, saya selalunya  ada bawak baju hujan dalam storage box. Hari ni tertinggal pulak baju hujan tu. Atas sebab itu masa balik tadi saya tak pakai baju hujan dan membiarkan saja tubuh berbalut kemeja pink ini dibasahi air hujan yang turun dari langit dengan lancar sekali tanpa sekatan.

Terasa seksi sekali bila menunggang kapcai dalam hujan lebat tanpa memakai baju hujan! 



Baru Sampai

Saya baru sampai rumah ni. Dalam fikiran dari tempat kerja tadi dok teringatkan kepala paip yang dah patah tu. Apa la nasib air paip yang tersangkut merenjat tak boleh keluar dari batang paip besi yang keras tu. Mesti air paip tu meronta-ronta ingin dilepaskan.

Setelah ambil kepala paip yang baru dibeli dekat kedai hardware siang tadi. Saya belek-belek paip yang patah tu. Lepas tu saya perhatikan tools yang saya ada sebagai seorang lelaki elektrik, kemudian saya melihat semula ke arah paip. Perkara yang sama melihat dari satu arah ke arah yang lain berlangsung dalam 5 minit. Aikk, macam ada yang tak kena pulak...

Kemudian, saya tarik nafas dalam-dalam. Saya perhatikan semula ke arah kepala paip dan seterusnya cepat-cepat saya mengalihkan pandangan saya ke arah tool kerja-kerja elektrik yang ada. 

Ceh, baru perasan... Nak bukak kepala paip tu mana boleh pakai testpen mahupun screwdriver. Paling koman nak kena ada spanar hidup takpun ragum paip tu. Alahai, macam mana la boleh tak terfikir masa kat kedai hardware tadi nak beli spanar hidup. 

Rasanya elok saya mandi dan tidur 4-5 jam sebelum pergi ke pejabat awal pagi nanti.. 

Sunday, 15 November 2020

Paip yang Kehausan

Malam tadi sampai rumah pukul 12.30 tengah malam. Terlalu penat sampai tak sedar terbaring atas karpet kat ruang tamu dan tertidur dengan tak mandi dan pakaian yang belum bertukar. 

Terjaga pagi tadi jam 6.45 pagi. Waktu subuh yang dah nak habis. Cepat-cepat mandi dan semayang subuh. Siap berpakaian kemas nak ke site, sempat buat telur separuh masak 3 biji sebab saya tahu hari ni saya akan busy dan tak akan keluar lunch sehinggalah kerja saya siap. Masa nak sarapan tadi, elok nak basuh mangkuk tiba-tiba saya tengok macam ada leaking kat paip. Saya pantang tengok benda leaking-leaking ni. Berjejes air paip. Membazir. Ustaz kata membazir itu amalan syaitan. Saya pun belek-belek paip tu dan pusing-pusingkan paip tu.

Sekali tersalah pusing, paip tu patah dan air memancut merata kawasan dapur. Ah, sudah.. Satu hal lain pulak nak kena selesaikan pagi ni. Baju saya, seluar saya dan seluar dalam habis basah. Nak repair paip dah jadi tak sempat. Saya tutup ibu kepala paip kat sinki tu dan terus tukar pakaian. 

Tengok jam dah pukul 9.00 pagi. Nampaknya kena jadi plumber malam nanti untuk buat kerja-kerja tukar paip.. Huh!

Saturday, 14 November 2020

Pagi Yang Awal

Sejak bermulanya semula PKP dan meningkat mendadaknya kes covid-19 di Malaysia. Saya makin kerap tidur awal. Nak message dengan Maya tapi khuatir Maya tiada masa dan 'penat' nak melayan saya. Jadi, saya pendamkan saja hasrat itu. Saya nak sangat berbual dengan Maya macam dulu-dulu hingga larut malam tapi saya tahu saya dah tak boleh buat macam tu sebab mengganggu privacy orang lain hendak berehat.

Tengah malam tadi terjaga sebab bunyi mercun betul-betul macam kat sebelah telinga je bunyi meletupnya. Baru teringat yang hari ni hari raya komuniti india patut la mercun berterbangan ke angkasa macam menyambut tahun baru. Selamat menyambut deepavali.

Tentang projek amal semalam, saya mengharapkan paperwork dah start. Hendak dimajukan kepada syarikat NGO Ustaz Ebit Lew. Tak sabar dah ni nak join buat kerja-kerja amal sementara nafas masih berbaki.

Hijab ni terbuka sekali lagi masa balik dari kedai tomyam lepas berbuka semalam.. Tapi, tu nanti la saya ceritakan.. Pagi ni nak pergi jumpa kontraktor buat grill rumah dulu. Hari yang sibuk hari ni. Kerja. Kerja. Kerja... 

Friday, 13 November 2020

Lukisan Untuk Awak 6


Saya seorang yang suka pada lukisan. Seorang yang sangat-sangat menyayangi hasil karya saya sendiri. Karya saya adalah suatu simbol kepuasan dalam diri saya apabila berkarya. Jika ada, orang yang istimewa selepas ini yang akan saya serahkan lukisan-lukisan hasil karya saya ini, ketahuilah sebenarnya saya bukannya hanya menyerahkan lukisan saya sahaja semata-mata tapi bersama hati saya sekali untuk orang itu menjaganya biarpun orang itu tiada hati untuk diberikan kepada saya sebagai balasan.

Saya juga suka dengan puisi. Apa yang ada di dalam entry-entry disini, semuanya adalah puisi-puisi spontan yang terlintas dan terlahir dalam fikiran saya. Semuanya tentang apa yang terdetik dalam sedetik lebih waktu yang tersisa.

Saya juga seorang yang suka menulis. Saya suka menulis tentang apa yang berlaku disekeliling saya kerana saya tahu ada orang takkan baca tulisan dalam message, telefon atau emel tapi lebih suka berhubung dengan medium blog dalam entry-entry ini. Saya tahu, ada diantara anda juga begitu. Suka membaca hasil penulisan dan cuba memasuki jiwa sang penulis.

Saya juga adalah seorang perindu yang setia. Setiap bait-bait kata disini, semuanya saya tujukan buat dia. Saya tahu awak sukakan lukisan. Lukisan ini tentang awak. Sambungan dari apa yang saya hantarkan pada awak sebelum saya jatuh sakit hari tu. Saya tahu, awak tak baca blog saya ni. Tapi, biar saya nyatakan disini, semua tentang awak saya lukiskan. Semua tentang kita, saya tuliskan. Semua tentang saya, saya puisikan. 

Cinta takkan pergi, biarpun hati menghambat rindu sendiri.

I'm Not Type Of That Guy

Pagi tadi saya bangun awal pasal nak pergi ke rumah Jidin. Lepas tu terus nak bergerak ke pejabat. Masa mandi tu saya cuci muka sungguh-sungguh. Habis setiap inci kulit pada wajah ni saya selaputi dengan sabun yang berbuih pencuci muka untuk lelaki. Kalau Maya dia guna Safi Rania Gold. Saya guna Biore for cute men like me! Heh!

Memang menjadi rutin mencuci muka setiap malam sebelum tidur dan bangun pagi. Kalau orang nak cakap apa pasal lelaki yang mencuci muka ni, saya tak peduli pun. Orang ada mulut, diorang berkatalah sebanyak yang boleh. Allah kan dah berjanji, perbuatan mengumpat tu nanti Allah balas dengan memindahkan pahala si pengumpat pada orang yang diumpat dan dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada si pengumpat. Dapat?

Selama duduk di hospital hari tu, saya tak boleh nak cuci muka langsung. Kena pulak angin aircond. Habis kulit jadi kering. Tak selesa. Mandi, gosok gigi itu je la rutin selama 'merengkok' kat dalam hospital. Nurse ada offer nak tolong mandikan, saya beritahu tak payah susah-susah. 

Lagipun operation hari tu okay je. Sekarang pun dah makin okay ni saya rasa cuma tak boleh nak berlari macam selalu je la buat masa ni. Cuma, doktor nasihatkan banyak minum air. Kena minum lebih dari 2 liter air sehari seperti mana yang Maya sarankan beritahu sejak awal perkenalan kami dulu. Tapi, saya ni kan sibuk dengan kerja. Kekadang memang rasa dahaga, tapi rasa dahaga tu saya tolak tepi bulat-bulat, yang penting kerja siap. Kalau dok kat site TNB lagi la, tak sempat pun nak ke tandas. Kecuali kalau betul-betul rasa 'darurat' sampai dah tahan sangat baru pergi ke tandas. Hidup takde orang jaga makan minum, macam ni la jadinya. Hidup sentiasa menyibukkan diri dengan kerja dua puluh empat jam. Saya tiada masa untuk berehat. Tiada masa untuk keluar berhibur malam-malam. Saya bukan jenis macam tu, keluar malam-malam seperti kebanyakan orang lain. I'm not type of that guy. Jadual hidup saya, hanya rumah dan ke tempat kerja sahaja. Ada la sesekali lepak kat book shop because saya adalah seorang pencinta buku.

Saya lapar sangat sebenarnya ni. Dah dari pagi tadi tak makan, saya rasa elok sangat kalau saya teruskan dengan berpuasa hari ni. Malam nanti makan tomyam sayur. Alahai sedapnya tomyam.... 


Projek Amal

Bunyi deringan telefon mematikan selera aku untuk sambung tidur selepas subuh.

"Hoi, bangun! Pagi ni datang rumah aku, kita ada discussion sikit. " kata suara itu didalam telefon.

"Aku dah bangun la ni... Siapa ni? Rumah siapa?" Aku bertanya sambil menguap panjang.

"Rumah aku la.. Jidin.." Jawapan pendek. Oooh, Jidin rupanya yang called pagi-pagi buta ni. Ingatkan prank ke apa tadi. Ada orang suka buat prank, bagi nombor aku kat orang lain lepas tu suruh call buat-buat tanya pasal insurance la segala bagai.

........................................................................................................................................

Seperti biasa, bilik itu padat dengan kabus yang terbentuk dari berkilo atau mugkin bertan lepasan asap rokok penghuni dan tetamunya. Aku rasa kalau aku ada barah paru-paru suatu hari nanti, aku akan pasti menyesal kerana berada disini lebih dari tempoh 3 jam.

Mereka sedang berbincang tentang projek amal berkaloborasi dengan Ustaz Ebit Lew. Aku kagum. Untuk melakukan projek amal bersama-sama dengan Ustaz Ebit Lew adalah satu perkara yang dah lama aku nantikan. Dah lama sangat. Aku mendengar penuh teliti segala perancangan yang mereka rencanakan. Kagum. 

Dalam musim PKP yang berlanjutan ni, mereka mengutarakan beberapa idea bantuan kepada orang-orang yang susah di tempat-tempat lain. Aku mengharapkan agar kaloborasi ini dapat menjadi kenyataan walaupun aku tahu Ustaz Ebit Lew mempunyai rakan-rakan kongsi dan dermawan yang hebat-hebat belaka. 

Kalau jadi projek ni, aku nak hadiahkan pahala-pahala yang ada ni untuk arwah ayah, mak, keluarga, kawan-kawan dan termasuk awak. Doakan projek amal ni jadi, ya...

Terima kasih..

Wednesday, 11 November 2020

Ada Suatu Hari...

Ada suatu hari
Lelaki itu berjalan seorang diri
Ditepi gigi pantai yang indah
Diselangi ombak yang beralun
Menghempas batuan terukir buih nan putih

Ada suatu hari
Lelaki itu berlari seorang diri
Di atas pasir halus pantai
Berbekas telapak kakinya
Meninggalkan kesan yang hilang
Dipadamkan air laut

Ada suatu hari
Lelaki itu duduk diatas batu besar
Di pinggir hiruk pikuk
Berjauhan dari suara orang ramai
Merenung kebesaran cinta
Yang tak pernah kunjung tiba

Ada suatu hari
Lelaki itu menulis satu nama
Nama yang selalu diingatinya
Terpahat dalam jiwa dan hatinya
Namun 
Lelaki itu tahu
Nama lelaki ini tak mungkin
Terpahat dalam hati
Orang yang diingatinya

Masih ingatkah
Gadis itu pada nama
Lelaki ini?


Friday, 6 November 2020

Lelaki Ini, Cinta dan Mimpi

Saya bukanlah seorang pujangga dek kerana puisinya yang terkenal ke serata buana. Saya juga bukanlah seorang penulis yang bagus dalam merencanakan peristiwa didalam catatan entry yang tidak seberapa ini. Saya cuma seorang pengembara di dataran hamparan yang kosong. Jika penulisan saya bagus sudah tentu saya mempunyai peminat didalam siri blog ini. 

Kadangkala, catatan lelaki ini adakala ia membosankan. Adakalanya, catatan ini seronok untuk diketawakan. Adakalanya, catatan ini melahirkan rasa takjubnya tentang cinta. Ya, cinta sekali lagi. Cinta yang cuma ada dalam hatinya saja. Tidak diluahkan, tidak diendahkan. 

Lelaki ini yang kalian baca catatannya adalah merupakan seorang lelaki yang sangat-sangat workoholic. Sangat suka bekerja. Semua kerja dia buat.Kerja hakiki dia agensi teknikal negara dan kerja part time dengan syarikat karan malaysia. Bagi lelaki ini hanya kerja saja yang dapat memberikan kepuasan dan menghilangkan rasa 'sakit' dalam jiwa. Alhamdulillah, terapi kerja ini menjadi. Yesszaaaaa..! 

Lelaki ini merupakan seorang yang sangat suka melukis. Biarpun lukisannya tidak mendapat tempat di balai seni lukis negara namun cintanya kepada lukisan sangat-sangat mendalam. Seperti dalamnya perasaan lelaki ini kepada saudari Maya.

Hatinya kosong, ingin mencari permaisuri yang boleh menjaga makan minum dan pakainya. Menjadi peneman sehidup dan semati. Yang pandai masak sambal tumis sotong faveretnya. Disamping suka akan lukisan-lukisan lakaran tangannya..

Ah, mana mungkin akan ada wanita yang sanggup menjadi suri itu..? Mimpi.. Hanya mimpi.. Ya, dalam mimpi... Termimpi-mimpi dalam mimpi...

Tuesday, 3 November 2020

Congak

Malam tadi aku beli beberapa barang dapur kat kedai runcit di Taman Desa Serdang.

Pekedai pun kira,

"8 ringgit 45 sen, 2 ringgit, 2 ringgit 50 sen, 14 ringgit, 4 ringgit.. Err... Semua sekali..."

Belum pun sempat pekedai tu kira, aku terus jawab dengan yakin,

"28 ringgit 95 sen." Aku bangga menjadi seorang lelaki yang hensem, cute, rajin dan bijak.

Satu suara dari belakang,

"30 ringgit 95 sen la! Apa laaa...! Masuk sekolah balik la!"

Aku toleh. Nampak seorang budak perempuan umur lebih kurang sepuluh tahun sedang tersengih. Huh!

Menyakat

Dulu. Masa zaman study kat Shah Alam. Balik dari kelas lepas turun dari bas, setiap petang aku akan menempuhi sebuah rumah yang dijaga oleh seekor anjing garang yang sangat besar. Anjing yang suka menyakat aku. Bila disakat, aku akan berlari sekuat mungkin takut dikejar, walaupun aku tahu anjing itu diikat ke pagar. Aku tak suka, tapi aku terpaksa lalu.

Suatu masa. Paginya masa mandi nak pergi kelas, kaki aku terpijak sabun mandi dan kaki aku terseliuh. Aku terpaksa berjalan seperti orang tempang. Petangnya aku balik dari kelas macam biasa. Dan terfikir, macam mana aku nak berlari kalau aku tempang. Aku tawakal. Berjalan tempang di depan anjing itu. Kejadian menakjubkan, anjing itu tidak sedikit pun menyakat aku. Aku mengandaikan bahawa anjing itu tak akan mengacau orang kurang upaya.

Sejak itu, apabila lalu di situ, aku akan pura-pura tempang. Dan, anjing yang garang itu tidak akan mengganggu aku lagi.

Suatu hari yang lain. Ketika melalui rumah yang sama dan baru saja aku nak lakonkan aksi tempang, aku terlihat dua orang gadis jelita di seberang jalan yang mungkin baru balik kelas jugak sama macam aku. Terfikir, takkan aku nak berjalan tempang, jatuhlah saham aku di hadapan gadis jelita. Aku jaga jalan aku. Berjalan gaya seorang lelaki gagah agar gadis jelita itu cair melihat keperibadian lelaki macho yang ada pada aku ketika itu. Tak sampai tujuh langkah, aku terus disergah anjing garang yang besar tu. Aku berlari. Uh! Malu aku pada dua orang gadis jelita.

Sejak itu pula, apabila aku lalu di situ, anjing itu akan terus menyakat aku walaupun aku pura-pura tempang, pura-pura pekak, pura-pura buta, mahupun melakukan aksi badut yang melampau. Agaknya dia dah tahu taktik aku tu! Huh!

Monday, 2 November 2020

(I Don't Know) But I Do...

"Hah... Ada cerita apa nak jumpa I ni, Anoy? Beria sangat bawak motor tadi sampai ke hospital," Dr. Amelia tanya sambil tangannya memegang burger. Kami makan di luar depan lobi hospital. Dr. Amelia yang ajak, bukan aku yang beria nak makan kat situ. Bau-bauan ubat hospital menusuk hidung tapi ia tidak mengganggu kosentrasi aku mengunyah burger tu dengan penuh sopan dan susila.

"Kejap.. Kejap...." Aku membetulkan leher. Melonggarkan sedikit tali leher yang terjerut pada kemeja pink yang aku pakai kerana burger yang aku makan tersangkut kat tekak. Kedua-dua belah mata aku tertumpu pada burger Dr. Amelia. Bukan 'burger' dia yang ada dalam baju tu tapi burger dia yang dia sedang pegang langsung belum tergigit.

Dalam hati, aku cakap. Hari ni makan burger je la. Orang yang belanja, takkan nak makan yang lebih mahal dari orang yang belanja. Tapi, aku rasa ni dah cukup bernasib baik bagi seseorang yang tak berduit sebab wallet aku lupa bawak lagi! 

"Lapar sangat ke?" Berkerut dahi Dr. Amelia tengok aku mengunyah. Dr. Amelia mesti terfikir yang aku nak jumpa dia sebab nak mintak dia belanja makan.

"Tak.. Tak..." Cepat-cepat aku mengunyah, lepas tu telan le.. Tak kiralah hadam ke belum, janji dapat telan masuk perut.

"Ehmmmmmm..."Dr. Amelia angguk dengan muka confuse. Dahi dia masih berkerut tak puas hati dengan jawapan aku.

Aku tarik nafas perlahan-lahan. Sandar kat kerusi supaya aku dapar relax. Aku toleh kiri dan kanan. Lepas tu aku cakap terus terang,

"Awak nak tau ke kenapa saya nak jumpa awak?"

"Mesti le.. Tadi macam nak lompat atas kereta aje masa tahan kereta I. terkejut I. nasib baik tak terlanggar.. Kalau tak masuk surat khabar la nama you.. 'SEORANG LELAKI DILANGGAR KERETA YANG SENGAJA DITAHANNYA'. Buat le lagi lain kali.." Kata Dr. Amelia. Tangannya masih memegang burger yang entah bila pulak dia nak habiskannya.

"Tak ada apa yang penting sebenarnya. Cuma... Tak tau le.. Tiba-tiba aje rasa teringin nak jumpa.." Aku membetulkan leher lagi. Masih ada roti burger yang tersangkut kat tekak. Dah tu aku capai coke, sedut dari straw. Terasa roti dalam tekak mengembang. Ahhh... Sudah! makin mengembang roti tu tersekat kat tekak aku. Kalau aku tak boleh bernafas ni aku pasti Dr. Amelia akan melakukan CPR ciuman dari mulut ke mulut kerana sebagai seorang doktor dia pasti sangat mahir melakukan CPR itu. Heh!

Aku berdehem. Shuuupp!! Roti tu terus masuk ke dalam perut. Lega!

"Rindu le tu...." Dr. Amelia tersenyum-senyum. Sipu. Dia letakkan burger kat atas riba. Matanya dipandang ke bawah. Tapi, aku tak rasa yang aku rindu pada Dr. Amelia. Perasaan rindu aku pada masa tu hanya tertumpu pada satu nama iaitu, Maya... Rindu yang hanya aku seorang saja yang merasainya. 

Bila Dr. Amelia kata 'rindu le tu', aku jadi serba salah. Terbit perasaan terasa kepada rindu seseorang yang lain tapi bukan pada Dr. Amelia sebenarnya. Aku cuba control. Aku pun cuba mencari cerita lain supaya cerita tentang rindu itu berlalu pergi seperti bau-bau ubat hospital ini yang ditiup angin aircond kat depan pintu masuk hospital ni.

"Macam mana kerja? Okay?" Aku mula memancing ayat untuk terus berbual.

"Okay je, You tu je yang hilang tiba-tiba. Senyap, takut pergi hospital la tu.." Dr. Amelia juga memancing ayat penuh dengan tatasusila. 

"Tak laaa.. saya ada je cuma agak busy dengan kerja-kerja part time saya buat testing.. Awak tahu tak hari tu, kawan saya yang saya selalu ceritakan kat awak tu dia datang KL. Stay kat Hotel Majestic.." 

"Then, you jumpa dengan dia tak? Sempat jumpa dia tak? Peluang you ni kan untuk jumpa dia..." Dr. Amelia tersenyum dengan soalan demi soalan yang dia tujukan tepat ke muka aku.

"Ehhhmmmmmm... Itu laaa... Saya tak sempat jumpa dia.. Bukan tak sempat cuma saya busy.. Lagipun saya takut la berhadapan dengan orang cantik macam dia.." Aku mula bercerita.

"Hisssshhhhh!! You nak takut apa? Apa la bongok you ni.. Kesian la kat dia.. Dia datang KL ni you pergi la jumpa dengan dia. Dari jauh dia datang, you tak pergi jumpa dia even tak bawak dia keluar dinner pun?" Dr. Amelia terus bercakap tanpa henti.

"Awak tak faham tentang apa yang saya takutkan.. Ye la.. I bongok.. Lepaskan peluang untuk beritahu dia depan-depan yang I sayangkan dia.." Belum sempat aku habiskan ayat, Dr. Amelia potong ayat aku. Katanya,

"You dah lepaskan satu-satunya peluang yang ada tau.. Dia dah beri you peluang untuk you beritahu apa luahan hati you tapi you tak grab peluang tu.. You ingat peluang tu akan datang sekali lagi ke?"

"I tahu.. Dah takkan ada lagi peluang tu lepas ni.. Dia pun dah tak nak cakap dengan I lagi.." Aku tunduk memandang burger Dr. amelia.

Amelia menggelengkan kepala. 

"Agak-agak kalau saya pergi ke Kuantan, dia nak tak jumpa dengan saya kalau saya ajak dia keluar? Saya bawak cincin sekali..." Aku meminta pendapat Dr. Amelia.

"Mana la I tahu.. Kalau dia nak jumpa dengan you, I rasa you memang bertuah sangat.. Tapi, I tak rasa dia nak jumpa lagi dengan you laaa.. Apa-apa pun, you tanya la dia nanti kalau you pergi sana..." Dr. Amelia menerangkan situasi kalau perkara itu berlaku.

Masa balik tu, sebelum naik kereta Dr. Amelia pesan kat aku,

"Nanti esok lusa ke you belanja I pulak ek..? Pergi la message dia, dia tunggu you tu.."

"Isshhhhh.. Mana ada laa.. Dia tak tunggu saya pun.. Dia kata 10 tahun jangan cakap dengan dia.. Lagipun, saya rasa macam saya annoying dia setiap hari dengan message dia hari-hari,walaupun saya suka berbual dengan dia. Tapi, saya takut dia tak selesa dengan saya.. Saya rasa dia tak ingatkan saya pun laa.. Sebab orang cantik macam dia pasti ada ramai kawan yang mahu berdampingan.. Saya ni siapa la yang nak berkawan..."

Selama ni mungkin aku yang perasan. Perasan.. Angau pada yang tak sudi.. Rindu melilit ni sengaja aku tak buka lilitannya. Biar masa saja yang membuka lilitan rindu ni..