Tuesday, 19 July 2022

Anugerah Yang Terindah Tercipta


Sejak beberapa hari ni, hati terasa sedih sangat. Sedar-sedar je, bergenang airmata tanpa sebab. Apa petanda diri sendiri pun tak pasti. 

Dah lama sangat rasanya aku tak bukak fesbuk. Dah berhabuk sangat-sangat fesbuk tu. Semalam bila online, scroll punya scroll, ternampak status Tik Tok yang wife member aku share. Dia share dalam tu tentang suaminya. Bila baca semua status tu baru aku tahu yang kawan aku ni baru meninggal. Allahu!

Terduduk aku sekejap masa tu.

Banyak yang wife dia share, tapi aku tak sanggup nak baca semua. Sedih. Sedih kerana kehilangan manusia yang menjadi separuh daripada kehidupan kita. Diri dia yang menanggung kesedihan tu aku harap dia tabah dalam membesarkan anak-anak. 

Aku kenal dengan Shahrul since 1994. Dia baru pindah masuk ke sekolah rendah tempat aku bersekolah masa tu. Anak pegawai tentera berpangkat. Masuk je dalam kelas tu, dia mendapat perhatian yang berlebih-lebihan daripada budak-budak perempuan. Dia terer lukis gambar garfield time tu. Budak-budak perempuan masa tu suka pada kartun garfield. Aku jadi sedikit tercabar sebab masa tu takde perempuan pun yang syok kat aku. Shahrul masa tu gudlooking, anak askar pulak tu. Datang dan balik sekolah ada driver yang datang jemput. Aku masa tu ada apa? Hapa pun takde, sekarang pun sama je. Hapa pun takde, sebab tu Maya tak nak kawan dengan aku. eh, melalut plak..

Sampai darjah 6, Shahrul berjaya menempatkan diri dalam kelas elit tahun 6 pada masa tu. Kelas 6 biru, kelas terbaik antara yang tersohor. Senang cerita, kelas nombor satu la dalam sekolah tu. Aku pulak hanya bertongkat di dalam kelas nombor dua terbaik. Dia tetap meneruskan kecemerlangan memikat gadis-gadis disekolah dan gadis sekolah lain. Aku ternganga. Hebatnya dia pikat perempuan. Apakah aku tak cukup romantik untuk berkasih sayang dengan gadis-gadis dalam sekolah pada waktu itu? Oh, ya.. Sebab dia anak askar yang berpangkat. Daddy dia pegawai tentera. Mungkin sebab itu ramai gadis-gadis sekolah suka kat dia. Title bercouple dengan anak pegawai tentera. Aku tengok muka aku kat cermin tandas sekolah masa tu. Aku mencebik sambil memerhatikan dari hujung rambut ke hujung dagu. Tiada celanya dengan wajah ni. Tiada istimewanya pun dengan diri ni. Dalam diam, hati aku tersungkam jatuh. Nak bangun balik dah tak berdaya. Dengan langkah longlai, aku berjalan keluar dari tandas. Tiba-tiba, cikgu disiplin sergah dari belakang,

"HAAAAHHHHGRRHH!!! Ponteng kelas ke awak ni?" Aku terperanjat. Ditariknya baju kat bahagian kolar. Terjingkit-jingkit aku berjalan. Nama diambil dan kesalahan direkodkan.

Esoknya, semasa perhimpunan. Nama aku dipanggil dan disuruh berdiri dihadapan semua gadis dan budak lelaki yang bersekolah disitu. Dan, tanpa segan silu aku dirotan 3 das kat bontot sebagai denda sebab ponteng kelas. Kata cikgu disiplin, 

"Jangan ikut perangai dia ni, nak berjaya kena hadir setiap kelas dan mata pelajaran yang kita belajar..."

Sejak hari tu, nama aku naik mendadak popular seperti Shahrul. Aku dikenang bukan kerana aku anak askar berpangkat, terer lukis Garfield. Tapi, aku dikenang sebagai salah seorang pelajar lelaki WANTED dalam sekolah. Dan sejak kejadian itu juga, aku mula dikenali oleh gadis-gadis kerana perkara-perkara nakal yang aku buat kat dalam sekolah. Janji? 

Thursday, 7 July 2022

Misi menghalau makhluk halus

Baru-baru ni, anakanda ada mengadu. Kata mereka, mereka ada ternampak sesuatu kat dalam rumah. Ada nampak benda kepala bulat tapi takde muka, kaki dengan tangan. Yang sorang lagi nampak benda pendek tapi rambut sampai ke lutut. Berjalan melayang tembus ke dinding. Saya tahu, perkara ni bukan main-main. Kalau diorang dah sebut, maksudnya memang benda tu ada kat situ. Pernah dulu, anakanda bagitahu nampak perempuan tua hitam merangkak kat atas siling dalam bilik tempat anakanda tidur.
Anakanda juga pernah bagitahu ternampak benda melintas kat tepi tingkap bilik yang dia tidur tu.

Saya rujuk benda ni dengan sahabat saya kat Singapore. Katanya, ada benda nak berdamping dengan anak-anak. Saya dah lama tinggalkan ataupun dah lama tak buat amalan perubatan islam untuk halau benda-benda halus ni. Semakin lupa dengan apa amalan yang patut dibuat dalam menghalau makhluk halus ni. Rumah baru ni dulu saya dah 'pagar' keliling. Tapi entah mana silapnya, ada tempat yang 'bocor' sampai benda-benda tu boleh masuk ke dalam.

Malam jumaat malam ni, kan? Saya akan start buat ruqyah dan beberapa amalan berlandaskan bacaan ayat-ayat suci al-quran untuk menghalau benda-benda ni keluar. Walaupun saya tahu, kesannya akan memakan diri saya sendiri kalau diri tak cukup kuat dengan 'pagar' yang betul. 

Sunday, 15 May 2022

Kena Marah Dengan Doktor

Adakalanya kita terpaksa membuat keputusan dalam keadaan kita sendiri tak sedar apa akibatnya. Kadangkala, kita juga terpaksa menerima tempias kemarahan orang lain walaupun kita sendiri tak bersalah. Kesalahan adalah suatu tunjang biasan dari akibat perkara yang kita dakwa silap. Biarpun silap itu bukan daripada diri kita, orang tetap menghukum yang bersalah itu tetap adalah kita.

Hidup ni seperti peredaran malam dan siang. Sampai suatu masa, peredaran ni akan berhenti dan kita akan bangkit disebuah tempat yang amat luas. Tak seorang pun daripada kita yang akan terlepas dari perhimpunan itu. 

Banyak yang berlaku. Banyak yang perlu dihitung. Banyak mata yang akan mengalirkan airnya. Hidup ini satu persinggahan. Saya tak mampu nak puaskan hati semua orang. Sakit ini sentiasa menghantui apa jua keadaan saya.. Maaf..

Thursday, 28 April 2022

Rindu Tiada Berpenghujung

Hari raya merupakan suatu peristiwa yang paling tak best dalam hidup lelaki ini. Anak-anak lelaki ini semuanya dalam mood gembira nak berhari raya. Semua dah rata-rata berkemas pakaian dan barangan masing-masing tak sabar nak balik kampung. Nak main bunga api. Nak main bakar-bakar lemang dengan sepupu diorang.

Lelaki ini tetap merasakan hari raya adalah hari yang tak best seperti tahun-tahun yang lalu. Tahun kedua beraya tanpa ayah. Tahun kedua juga beraya tanpa duit raya. Banyak benda nak cerita tapi tak mungkin boleh ceritakan semua kat sini. Kan seronok kalau ada kawan nak bercerita, chit-chat sampai tengah malam, gelak ketawa tengok gambar kawan yang macam kucing segala bagai. Ah, kawan! Mana ada kawan yang akan jaga hati kawan. Semuanya datang dan pergi. Sebab tu lelaki ini takde kawan yang ramai. 

Rindu pada ayah.. Rindu pada ayah.. Rindu pada ayah... Semoga ayah baik-baik kat sana, anakanda bakal menyusul tak lama lagi..