Friday, 30 October 2020

Memandu Van Jenazah

Suatu hari sedang saya berehat-rehat dengan nyenyak di atas tilam empuk siap berselimut. Macam biasa, kaki sebelah kanan akan terkeluar dari dalam selimut. Dah biasa. Habit lelaki ini. Terdengar deringan telefon. Dengan malasnya, saya mencapai telefon itu. 

"Elloo, Haji.... Hari ni busy tak?" Suara dari panggilan telefon.

Panggilan Haji adalah gelaran kepada saya oleh kawan-kawan yang rapat dengan saya. Sebabnya, dulu saya pernah bekerja di Arab Saudi dan sempat melaksanakan ibadah-ibadah khusus semasa berkelana selama bekerja di sana.

"Hari ni? Tak kot.." Saya jawab ringkas.

"Bagus la kalau tak busy, kau boleh tolong aku tak, Ji?" Suara itu bertanya lagi.

Dengan mamainya, saya terus bertanya tanpa melihat skrin ditelefon..

"Errr, jap.. Sape yang bercakap ni ye?"

"Aku laaaaaaa, Leman.. Kau boleh tolong tak ni?" Mata saya mula terbuka dari mamai.

"Haaa, boleh-boleh.. Aku ingat sapa tadi, awal pagi dah telefon.. Nak tolong apa tu? Heh!" Saya ketawa.

"Kau pandai bawak van kan?" Soalan Leman makin misteri.

Dulu masa kat arab bukan sahaja van, hatta kereta jenama GMC yang besar gedabak dan truck pickup pun saya pernah pandu. Itu belum kira lori keluaran USA yang banyak terdapat di sana. Sebijik macam Optimus Prime punya bentuk lori sama seperti dalam movie Transformers. Saya minta izin daripada driver lori yang hantar barang ke site untuk membuat pandu uji dan permintaan rakyat Malaysia yang bertuah ini tidak ditolak oleh pemandu lori Optimus Prime tersebut. 

"Boleh je.."

"Cantek.. Aku kat hospital ni tengah uruskan jenazah ahli kariah kat tempat aku ni. Aku nak mintak tolong kau ni, Haji.. Nanti tolong drive van jenazah ke Lanchang, Pahang, boleh?" Leman menyuarakan permintaan sebenar beliau.

Saya melopong sekejap. Ke Lanchang? Van jenazah? Gurauan apakah ini di pagi hari?

"Oooii, Haji.. Boleh tak ni? Kalau boleh nanti kau tunggu kat masjid area rumah aku ni. Park kereta kat situ je. Nanti aku mintak Pengerusi Masjid bagikan kunci van jenazah kat kau.." Kata Leman di akhir perbualan.

Dipendekkan cerita, urusan jenazah selesai lebih kurang jam 5 petang. Dari hospital tu nak ke Lanchang, Pahang mengambil masa 2-3 jam untuk sampai. Jadi, saya memandu dengan slow and steady. Bagi penghormatan terakhir kepada jenazah, didalam van jenazah memang ada disediakan CD surah bacaan ayat-ayat suci al-quran. Saya dan Leman turut sama membacakan al-fatihah sebagai sedekah buat allahyarham yang menumpang di seat belakang van jenazah.

Kami memberitahu ahli keluarga allahyarham bahawa perjalanan mungkin akan lewat berikutan hal pengurusan jenazah yang baru tamat lewat petang tadi. Dan, pihak keluarga allahyarham faham dengan prosedur hospital dan akan menunggu sehingga van jenazah sampai ke rumah keluarga allahyarham untuk dikebumikan di sana.

Perjalanan lancar dan kami berborak pelbagai cerita. Tiba-tiba, Leman buka cerita seram tentang zaman dia kerja kat sebuah kilang di Nilai. Cerita tentang diganggu makhluk halus yang menyerupai seorang pekerja kilang mati kerana bunuh diri dengan memasukkan tangan ke dalam mesin operator sehingga maut. Saya yang mendengar mula terbayang betapa azabnya memasukkan tangan sendiri ke dalam mesin kilang sehingga terputus nyawa. Gulp! 

Apabila tiba di persimpangan keluar Lanchang, 'KKhDDuuKKDKK!!' saya terasa seperti terlanggar sesuatu. Leman memberikan isyarat tangan dengan menunjukkan ke arah bawah seperti bertanya kepada saya, apa yang saya langgar di bawah van ni?

Saya berhentikan kenderaan dan keluar periksa. Namun, tiada apa. Bumper van dalam keadaan baik, tayar jugak tidak menunjukkan ada kesan-kesan melanggar sesuatu. Setelah itu, perjalanan kami teruskan. 

Belum pun sempat 100 meter kenderaan bergerak, tiba-tiba diatas bumbung pula ada kedengaran bunyi 'DUMM! KDEBUKK!' Saya pandang muka Leman, Leman pandang muka saya. Masing-masing telan air liur sendiri. Saya nampak percikan halus pada dahi Leman dalam samar cahaya suram lampu jalan.

"Apa tu, Haji?" Leman mula menegur. 

Saya mengerutkan dahi dan meletakkan jari telunjuk dibibir. Untuk makluman, saya meletakkan jari di bibir saya tau, bukan dibibir Leman. Sambil berbisik pada Leman,

"Jangan tegurrrrrrrrr.. Syyyhhhhhhh!!"

'DUUUMMM!! DUMMMM!!!' kali ini bunyinya hentakan makin kuat. Saya perhatikan ke arah keranda di belakang masih dalam keadaan baik. Tiada tanda-tanda mayat yang ada di dalam keranda itu akan melompat keluar.

Saya perhatikan Leman, percikan peluh di dahinya kini sudah meleleh sampai ke hidung. Nyata nampak seperti hingus budak kecil yang tidak dilap. Dalam keadaan itu, saya hampir ketawa tapi saya masih mampu menahan.

"HAAAAAAJJIIIIIIIIIII...!! KAT SEBELAH KAUUUU!!" Leman menjerit. Dan saya juga turut terperanjat dengan jeritan Leman. 

Saya menoleh pantas ke sebelah kanan. Saya lihat lembaga perempuan dengan wajahnya yang berulat, dengan mata yang terperosok ke dalam, menampakkan gigi taring menyeringai. Lidah terjelir panjang. Lembaga itu seperti sedang 'menumpang' mengintai dari atas bumbung van. Rambutnya yang panjang berjuraian ke bawah menutup ruang pandangan tingkap tempat saya. lembaga itu mengetuk tingkap. "DUM! DUM! DUM!' 

Saya perhatikan Leman. Dia dah tak sedarkan diri, mungkin kerana terkejut. Yang masih sedar pada masa itu cuma saya. Saya laungkan azan, iqamah dan bacaan doa tidur dengan harapan saya juga turut tak sedar macam Leman daripada terus menatap wajah ngeri makhluk tersebut. Sayangnya, saya terus sedar pada masa tu.

Setelah azan buat kali yang ketiga, barulah makhluk itu lari terbang meninggalkan van jenazah yang saya pandu. Dalam menggigil, saya kembali pandu van tersebut hingga sampai ke rumah keluarga allahyarham. Ahli keluarga allahyarham berkata,

"Lena kawan encik ni tidur, ya. Penat sangat menguruskan jenazah dari awal pagi tadi kot."

Saya hanya tersenyum. Walhal dia tak tahu yang Leman tu sedang pengsan sebab ternampak makhluk yang tak diundang semasa dalam perjalanan tadi.

Selesai urusan pengkebumian dalam jam 11 malam. Saya memohon diri untuk berangkat pulang. Sebelum pulang, salah seorang dari ahli keluarga berpesan..

"Encik kalau lalu ikut Lanchang tu hati-hati la ye sebab kawasan tu 'keras' kalau bawak kereta malam macam ni...."

Saya cuma mengangguk dan tersenyum kelat. Saya mengharapkan Leman terjaga agar dapat menemani saya memandu pulang pada malam itu. Tapi, Leman masih tak sedarkan diri. Sepanjang perjalanan pulang pada malam itu, saya cuma ditemani oleh bau kapur barus yang masih segar hingga ke Kuala Lumpur.......

No comments: